Sabtu, 27 September 2014

Sistem Selam; Pengenalan

Dianggarkan 71% daripada mukabumi adalah terdiri daripada air dan 97% daripada air tersebut berada di lautan. Dengan purata kedalaman 3,720 meter, alam marin membentuk 99% daripada habitat di mukabumi ini. Berdasarkan fakta tersebut para ilmuan percaya bahawa sebahagian besar daripada organisma tinggal di alam akuatik berbanding di daratan. Maka tidak hairanlah mengapa eksplorasi dan pengkajian marin telah wujud berkurun-kurun tahun yang lampau.

Tiada sesiapa yang benar-benar pasti bilakah manusia mula menyelam, tapi anggaran oleh para sejarawan ia bermula kira-kira 5000 tahun Sebelum Masehi (SM). Bukti-bukti aktiviti penyelaman di zaman purba dapat dilihat melalui penemuan ukiran batu dari Assyria (kerajaan purba yang berpusat di utara Iraq) yang dipercayai bertarikh 885 SM dan juga melalui penulisan sejarawan Greek purba yang bernama Herodotus menceritakan tentang seorang penyelam yang bekerja untuk Raja Persia pada abad ke 5 Sebelum Masehi.


Pengkajian mengenai Sistem Selam telah berlaku seiring dengan sejarah penyelaman dan telah mula di rekodkan seawal kurun ke 16 Masehi. Pelbagai lukisan telah diterbitkan, walaupun hampir kesemua rekabentuk tersebut tidak dapat dipraktikkan namun ia tidak pernah menghalang daripada manusia terus mencipta. Akhirnya, pada tahun 1531 seorang pencipta berbangsa Itali bernama Guglielmo de Lorena telah berjaya mencipta sebuah "diving bell" yang boleh digunakan. Ia kemudian di ikuti dengan penciptaan - penciptaan "diving bell" yang lebih efektif oleh William Phipps (berbangsa Amerika) pada tahun 1680an dan Edmund Halley (berbangsa Inggeris) pada tahun 1690.



Penciptaan-penciptaan tersebutlah yang telah merintis jalan kepada Sistem Selam moden yang ada pada hari ini. 

Sistem Selam secara amnya boleh kita kelaskan kepada tiga (3) prinsip utama iaitu;


  1. Gas Selam - Jenis-jenis gas yang digunakan untuk pernafasan semasa manusia berada di bawah permukaan air.
  2. Sistem Penghantaran - Kaedah serta peralatan yang digunakan untuk menyalurkan gas selam kepada manusia untuk bernafas di bawah permukaan air.
  3. Jenis Litar - Jenis litar yang digunakan oleh sistem penghantaran samada jenis litar terbuka, tertutup atau separuh tertutup.

~ Admin

 Rujukan;
  1. Diving Principles and Policy; U.S Navy Diving Manual (Volume 1).
  2. Buku Panduan Kursus Pembantu Perubatan Selam; Lt. Kol (Dr) Abd. Halim bin Mohamed dan Lt. Kol (B) Dr Lee Chin Thang, edisi ketiga 2003.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.