Mengenai Buccaneer Diver



Sejarah asal penggunaan nama Buccaneer (nama panggilan bagi lanun di Lautan Carribean) bermula semasa zaman saya dibangku sekolah lagi. Pada ketika itu saya berserta beberapa orang rakan menggelarkan diri kami sebagai "Bravo Buccaneer" (kerana asrama kami terletak di blok "B"). Apabila saya mula "curi-curi" menyelam bersama rakan-rakan Navy dan Bomba sewaktu penglibatan di dalam latihan peralatan selam khusus bermula tahun 2001, saya mula mengelarkan diri saya sebagai Buccaneer Diver untuk mengambarkan seorang penyelam yang tidak mempunyai kelayakan selam yang formal.

Di zaman menjadi Penyelam Lanun tersebut; saya hanya belajar menggunakan peralatan, mengimbang udara dalam telinga (equalize) dan menyelam di kedalaman di antara 5 - 8 meter. Selepas mengikuti kursus 'Hyperbaric Life-Support Technician' (Pertolongan Cemas Selam), saya mula memahami penyakit-penyakit, bahaya selam (tanpa ilmu yang mencukupi) dan kompetensi yang perlu sebagai seorang penyelam. Selain daripada didedahkan tentang operasi kebuk hiperbarik (Kebuk Mampatan Tinggi), saya juga telah didedahkan dengan sistem-sistem selam bekalan permukaan, litar tertutup dan komunikasi bawah air yang dimiliki oleh TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia), JBPM (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia) dan GGK (Grup Gerak Khas) pada ketika itu.

Saya juga pernah mendapat pengalaman berguna ditugaskan ke bahagian pembekalan tenaga kerja ("Manpower Supply") oleh sebuah syarikat di  Kerteh di dalam industri gas dan petroleum pada tahun 2003. Di sana saya mula terlibat secara tidak langsung dengan keperluan Penyelam-Penyelam Komersil (Commercial Diver). Sebagai kordinator tenaga kerja, saya banyak belajar mengenai kelayakan dan serta cabang-cabang Penyelaman Komersil. Pada ketika itu saya cukup kagum dengan imbuhan yang diperolehi oleh penyelam-penyelam tepu (Saturation Diver). Pengetahuan mengenai Penyelam Komersil telah di percerahkan lagi dengan pertemuan saya bersama seorang pegawai latihan daripada organisasi ADAS (Australia Diving Accreditation Scheme) dalam tahun yang sama. 

Ramai yang beranggapan bahawa penyelam-penyelam yang tidak melalui dan memiliki kompetensi atau lesen selam rekreasi adalah penyelam yang kurang kompeten. Ini adalah kerana untuk menyelam di pusat-pusat selam rekreasi, seseorang itu perlu membuktikan bahawa dirinya kompeten dan memahami peraturan-peraturan selam rekreasi dengan menunjukkan kad kompetensi selam rekreasi mereka.

Hakikatnya ialah penyelam-penyelam seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan juga pasukan JBPM adalah penyelam yang telah melalui latihan yang jauh lebih mencabar dan mengikut peraturan selam yang ketat. Mereka berlatih tanpa mengira siang atau malam, tenang atau berarus. Mereka merujuk manual selam seperti U.S Navy, Royal British Navy atau BR (British Regulations)  dan NFPA (National Fire Protection Association) yang lebih terperinci iaitu merangkumi penilaian fizikal, peraturan yang ketat dan perkiraan menjalankan kerja-kerja di bawah air.  Latihan seperti Penyelam Kapal TLDM, Penyelam Ranjau (Clearance Diver), Penyelam Tempur Oksigen (PTO) dan Penyelam Keselamatan Awam JBPM ("Public Safety Diver") memerlukan kekuatan fizikal, mental, komitmen dan kecekapan yang tinggi lagi utuh. Malah mereka perlu melalui pemeriksaan kesihatan selam yang ketat pada setiap tahun untuk membolehkan mereka terus aktif sebagai penyelam.

Begitu juga dengan Penyelam Komersil yang memerlukan pemeriksaan kesihatan tahunan untuk terus bekerja di bawah air. Latihan Penyelam Komersil tidak kurang juga hebatnya, dengan latihan yang melebihi tempoh tiga (3) bulan untuk mendapat kelayakkan minima bekerja di "offshore", tidak termasuk pengalaman yang perlu dikutip sebelum melangkah kepada latihan yang lebih ekstrim untuk menempa kelayakkan sebagai Penyelaman Tepu.

Sebenarnya ialah perbezaannya diantara disiplin-disiplin selam adalah beberapa kaedah dan peraturan selam. Perumpaannya adalah seperti anda memiliki lesen memandu di Malaysia dan ingin memandu di Amerika Syarikat; bagi membolehkan anda memandu disana, anda wajib memiliki lesen memandu antarabangsa ataupun lesen memandu Amerika Syarikat. Dengan memiliki lesen tersebut bermakna anda telah memahami kaedah dan peraturan memandu di negara tersebut.

Peraturan selam rekreasi telah dimudahkan berbanding dengan tentera adalah kerana; (i) Penyelam Rekreasi hanya mempelajari selam dalam tempoh masa yang pendek atau singkat berbanding dengan latihan seperti Penyelam Kapal TLDM yang menjalani latihan asas selama 10 minggu, (ii) tidak melibatkan kerja-kerja di bawah air yang sudah pasti meningkatkan kadar pernafasan, risiko "hyperventilation" dan terdedah kepada penyakit-penyakit dekompresi, dan akhir sekali (iii) penyelam tentera, polis dan bomba tidak mempunyai pilihan di mana mereka akan menyelam seterusnya samaada tenang, berarus atau mempunyai pandangan terhad. Namun ia juga tidak bermaksud bahawa seorang jurulatih selam rekreasi yang berpengalaman tidak dapat menandingi keupayaan seorang penyelam tentera atau komersil. Yang pasti, sifat keterbukaan, menghormati antara satu sama lain tanpa mengira disiplin atau latar belakang selam adalah penting supaya kita dapat mempelajari pelbagai ilmu dan pengalaman diantara satu sama lain.

Nota: untuk memahami dengan lebih lanjut mengenai Disiplin dan Sistem Selam, saya menjemput rakan-rakan untuk mengikuti penulisan dan perbincangan dalam blog ini.

Allahyarham PgB Tuan Zainuddin b. Abu, Allahyarham PB Jimmy @ Suhaimi dan PgKB Tuan Hamid dari Pasukan Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Kept. TLDM Ahmad Ramli, Lt. Kdr Nizam, PO Md. Yusof (Pak Usop Paskal) dan PO Yusnihairul daripada Tentera Laut Diraja Malaysia. Lt. Kol (B) Dr. Lee, Kol (B) Dr. Halim, Kol. Dr. Muhd Yusof dan SSjn. Kamal Ariffin daripada Institut Perubatan Bawah Air dan Hiperbarik Malaysia (IUHM). Rakan - rakan daripada UTK dan VAT69 Polis DiRaja Malaysia. Jurulatih-jurulatih selam teknikal dan juga rekreasi Zainal Azam Hashim, Mjr. Ahmad Kadir Nizaruddin dan Faiz Ahmad. Penyelam Komersil Pete Devine, Alan dan Ringgo. Saya juga berpeluang berjumpa dan berdiskusi dengan lagenda selam dunia iaitu Dr. J. Thomas Millington (Board of Director of the Historical Diving Society) dan Mr. Robert Lyne-Sands (Jurutera Biomedical). Tidak lupa juga kepada bekas mentor utama saya, Allahyarham Datuk Abdul Rahim Dahalan atau lebih dikenali dengan nama Rahim King. Kesemua individu yang disebutkan di atas dan juga beberapa lagi rakan-rakan selam yang tidak dapat saya sebutkan disini adalah merupakan mentor, sahabat dan pembuka mata yang menjelaskan hakikat kompetensi, cabaran dan keperluan ilmu selam pelbagai cabang yang menghidangkan cabaran yang sebenar.

Mereka semua inilah sumber inspirasi dan membangkitkan minat saya sehingga menjadi seorang Divemaster dan seterusnya kini sebagai seorang Jurulatih Selam Skuba. Tabik untuk mereka!!!

Ilmu yang dikutip melalui pengalaman, diskusi dan 'mentoring' ini telah membolehkan saya membeza-bezakan keperluan kompetensi selam rekreasi, perkhidmatan khusus dan komersil. Ilmu yang telah saya kutip tersebut ingin saya kongsi bersama disamping menimba ilmu baru dari rakan-rakan yang lain. Cita-cita saya ialah ingin memperjuangkan kompetensi dan latihan sebenar yang diperlukan oleh seorang penyelam berdasarkan kepada tujuan dan tanggungjawab utama ia menjadi seorang penyelam. Jika kita ingin mengorak langkah sebagai sebuah negara maju... ini adalah langkah yang perlu kita ambil.

Kini, Buccaneer Diver dibuka sebagai satu kumpulan blogger atau lokasi pengkongsian maklumat dan pengalaman rakan-rakan mengenai latihan dan pengembaraan selam mereka. Mudah-mudahan Buccaneer Diver dapat menjadi satu kumpulan atau kelab penyelam yang menghormati satu sama lain tanpa mengira disiplin selam masing-masing. Mungkin suatu hari nanti komuniti ini akan berdaftar sebagai sebuah kelab rasmi.

Untuk pertanyaan lanjut dan sebarang maklum balas, sila hubungi kami melalui enquiry@publicsafety.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.