Jumaat, 29 Mac 2013

Definisi Selam




"Diving" mengikut Kamus Inggeris-Melayu Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka mempunyai tiga maksud iaitu terjun junam (terjun papan anjal), terjun udara (terjun payung) dan eksplorasi bawah air atau Selam. Individu yang menjalankan aktiviti selam pula dinamakan Penyelam atau "Underwater Diver".


Bagi memahami Dunia Selam, kita perlu memahami Prinsip Selam itu sendiri. Selam boleh di bahagikan kepada tiga (3) prinsip utama iaitu Sistem, Disiplin dan Perubatan Selam. Secara ringkasnya;

1. Sistem Selam
Kaedah, peralatan dan teknologi yang digunakan oleh individu untuk memasuki alam akuatik.

2. Disiplin Selam
Peraturan, prosedur dan kompetensi yang diguna pakai oleh penyelam untuk memasuki alam akuatik selari dengan tujuan penyelaman itu.

3. Perubatan Selam
Perubatan Selam atau juga di kenali sebagai perubatan bawah air adalah pengkajian sains perubatan selam untuk mengenal pasti punca, pemulihan serta pencegahan sebarang penyakit serta kesan terhadap fisiologi atau tubuh badan manusia yang memasuki alam akuatik.


Kesemua prinsip selam di atas telah dibangunkan sejak berzaman lamanya dan melalui pelbagai evolusi penemuan sehinggalah ke hari ini oleh para ilmuan dan ahli sains berdasarkan dua tujuan berikut;

  • Membolehkan manusia hidup, bergerak dan menjalankan misi (tujuan) di bawah air dalam satu tempoh jangkamasa.
  • Menjaga keselamatan penyelam daripada kesan langsung tekanan lampau atmosfera terhadap manusia.

~ Admin

Khamis, 28 Mac 2013

"Dunia Selam"




Di jaringi pantai sepanjang 4,800km dan dihiasi dengan lebih 200 pulau, Malaysia dikatakan memiliki nilai alam marin diantara yang terkaya di lembangan Indo-Pasifik. Kelebihan tersebut telah menyaksikan negara kita menjadi tumpuan para pelancong ekologi ('echo tourism') terutamanya Penyelam Skuba. Pulau-pulau seperti Sipadan, Layang-Layang dan Tioman bukan sekadar dikenali, malah mahsyur di seluruh dunia.

Bukan sekadar penyelaman rekreasi, Penyelaman Komersil ("Commercial Diving") juga telah berkembang pesat seiring dengan kemajuan industri petroleum negara semenjak awal 70an. Turut mewarnai "Dunia Selam" adalah pasukan selam agensi-agensi kerajaan terutamanya daripada tentera, polis dan bomba. Begitu juga dengan pengkajian sains dan arkeologi marin oleh para saintis dan pelajar universiti tempatan.

Samada untuk riadah, mencari rezeki atau pengkajian; eksplorasi alam akuatik membawa kita ke satu dunia yang agak asing dan seakan mengembara ke alam yang penuh misteri. Pengalaman tersebut akan membawa kita dengan lebih dekat tentang pengertian "Planet Biru" ('The Blue Planet'). Mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai "Dunia Selam" adalah penting supaya setiap individu dapat membuat perancangan bagi mendalami ilmu dan kemahiran berdasarkan tujuan penyelaman masing - masing.

~ Admin
 







Jumaat, 8 Mac 2013

Hello!!!


 
Buccaneer Diver atau dalam B.Malaysianya ialah Penyelam Lanun adalah blog atau ruang yang digunakan oleh penyelam-penyelam yang telah merasai pengalaman berlatih atau menyertai program Aquasport Divers Sdn. Bhd. dan Specialty Training & Services.

Aquasport Divers Sdn. Bhd. adalah merupakan syarikat usahasama entiti perniagaan Aqua Sports Diving Service dan Specialty Training & Services. Semenjak tahun 2009, mereka telah mengorak langkah untuk mereka-bentuk dan menganjurkan latihan-latihan selam yang bersesuaian untuk pasukan-pasukan selam agensi-agensi kerajaan dan juga organisasi-organisasi khusus.

Semoga dengan halaman ini, kita mampu berkongsi dan menubuhkan satu komuniti selam yang celik ilmu dan memahami tentang "Dunia Selam" yang sebenar. Blog ini juga diharap dapat menjadi asas rujukan pengetahuan selam di dalam Bahasa Malaysia.

~ Admin.